Cahaya_rumahku

Thursday, March 5, 2009

Minda: Guru bak cahaya terang
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

PERKEMBANGAN pendidik di Malaysia dewasa ini menjadi topik perbincangan semua lapisan masyarakat. Di samping persoalan keberkesanan sistem pendidikan, terutama dari aspek kurikulum, persoalan fungsi pendidikan untuk pembentukan akhlak murid, perpaduan negara, penjanaan modal insan dan keperluan serta permintaan industri sentiasa didebatkan. Pelbagai pihak, pendidik dan ibu bapa terus hangat membincangkan isu kualiti, prestasi disiplin, peningkatan mutu akademik, akhlak dan moral.Ini berikutan semakin menularnya pelbagai gejala sosial yang melanda warga muda. Graf jenayah menampakkan tiada penurunan lantas semua pihak meneropong kembali keberkesanan sistem pendidikan negara. Justeru, secara mudah dapat dikatakan pendidikan untuk menerapkan nilai murni, sekali gus menjadi teras kepada penggubalan dasar pendidikan negara sejak merdeka hingga kini.Walaupun negara rancak menuju kepesatan pembangunan fizikal, ekonomi dan industri, namun elemen pembinaan sahsiah sentiasa menjadi inti pati kepada visi dan misi negara.
Anggota masyarakat hari ini beranggapan institusi pendidikan seperti sekolah adalah agensi teras ke arah pemupukan nilai dan akal budi yang berkualiti di kalangan generasi muda.

Kekuatan nilai akhlak akan menjana keperkasaan jati, malah dapat membentuk landskap sosial yang harmonis dan dinamik.
Ingatlah pesan Imam al-Ghazali: “Kuat dan jayanya suatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu.” Jadi, pendidik mesti memfokuskan kepada penerapan akhlak secara berterusan tanpa ada rasa jemu walaupun terpaksa berdepan situasi semasa yang cukup mencabar. Dalam hal ini, pendidik memegang teraju utama dalam barisan hadapan untuk menyiapkan warga negara seperti dihasratkan.Oleh demikian, pendidik sewajarnya berperanan lebih dedikasi dan bijaksana mendidik pelajar melalui pelbagai pendekatan selaras kehendak dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ingin mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Atas kesedaran itu, penerapan nilai murni seperti berbudi bahasa, patriotisme, kegigihan, toleransi dan sebagainya menjadi tanggungjawab pendidik melalui proses pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum dan program komuniti.Oleh itu, tugas dan tanggungjawab pendidik hari ini tidak hanya sebagai pengajar, tetapi mampu bertindak dan berupaya mendidik dan mengasuh anak didiknya dengan nilai jati diri berteraskan nilai agama dan budaya bangsa.Kejayaan sistem pendidikan untuk melahirkan modal insan yang bukan saja berintelektual tinggi, tetapi berkeperibadian dan bersahsiah diri terpuji.Kesungguhan sekolah dan pendidik dalam merancakkan aktiviti akademik dalam usaha melonjakkan kecemerlangan kualiti pendidikan bertaraf global, namun unsur nilai murni tidak boleh dikesampingkan.Dengan kata lain, ‘kemajuan ekonomi dijunjung tinggi, keperkasaan akal budi terselit di hati’.
Menurut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Perutusan Tahun Baru 1995, sekolah juga memainkan peranan penting dalam pembentukan budaya.Justeru, latihan dan teladan di sekolah hendaklah ditumpukan kepada pembentukan budaya dan nilai mulia.Malah, ketika merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 16 Mei 2000 di Ipoh, Perak, Dr mahathir menyatakan guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang olehnya dan budaya diterimanya.Hal itu menggambarkan amanah negara kepada pendidik dalam mencorakkan masyarakat murni.
Imam Hasan al-Bana ada menyatakan, guru adalah cahaya terang yang menyinari umat manusia, sekalipun sebagai risikonya ia harus membakar dan membinasakan dirinya, sama seperti lilin.
Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Nordin menyatakan proses pembinaan insan berjiwa murni dan bersahsiah terpuji adalah suatu proses berterusan yang mesti dilaksanakan melalui pendekatan yang memfokuskan kaedah ‘menyeluruh dan bersepadu’.Maknanya, membentuk rupa bangsa itu dilakukan sepanjang proses persekolahan.Kata Wan Mohd Zahid, proses membina manusia secara berterusan melalui kaedah bersepadu itu juga menyatukan proses pendidikan dalam kurikulum dengan aktiviti kokurikulum secara harmonis. Peranan guru dalam era globalisasi menjadi semakin penting dan diharap dapat berfungsi secara maksimum kerana keadaan gejala sosial yang semakin merebak.Sekolah sebagai tapak asas penting untuk membentuk kembali ekologi sosial yang harmoni, berintelek tinggi di samping memiliki jati diri bersahsiah unggul.
Guru memainkan peranan menyemai nilai murni dan sikap berbudi bahasa tinggi melalui pelbagai pendekatan sama ada semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, kegiatan kokurikulum mahupun menerusi program bersama komuniti luar.Perancangan dan pelaksanaan aktiviti bersistematik akan memberikan impak positif untuk menjana keperkasaan penyerapan nilai berkenaan.Malah, semangat patriotisme terhadap bangsa dan negara dapat dihidupsuburkan pendidik melalui aktiviti pasukan badan beruniform selaras dengan tema Hari Guru 2007 ‘Guru Penjana Modal Insan Gemilang’.
Di bahu pendidiklah kerajaan dan rakyat meletakkan amanah agar mereka dapat mencorakkan rupa bangsa menepati visi dan misi negara yang ingin melahirkan warga seimbang, harmonis dan berdaya saing tinggi.
-petikan dari Harian Metro 050309-
posted by Baiti_annum at 6:18 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home